Hafizh Syahrin selamat selepas insiden ngeri dalam litar

 

Kemalangan ngeri yang tercetus menyaksi aksi Moto2 di Litar Red Bull Ring-Spielberg, Grand Prix (GP) Austria terpaksa dipendekkan kepada 13 pusingan hampir-hampir meragut nyawa pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
 
Insiden berkenaan pada mulanya berlaku selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya berada di tengah laluan sebelum Hafizh yang tidak menyedari kemalangan itu gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Italtrans Racing Team berkenaan.

Motosikal ditunggang Hafizh dilihat berkecai dan pelumba Openbank Aspar Team itu melambung tinggi di udara.

Kemalangan itu turut membabitkan beberapa pelumba lain iaitu Andi Farid Izdihar (IDEMITSU Honda Team Asia) dan Edgar Pons (Federal Oil Gresini Moto2) sebelum saingan terpaksa dikibarkan bendera merah susulan insiden berkenaan.




 

Bagaimanapun, Hafizh dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan hanya mengalami lebam di beberapa bahagian badan.

Pun begitu, difahamkan bahawa pelumba negara itu masih perlu menunggu keputusan imbasan yang akan dijalankan di hospital bagi mengetahui tahap kecederaan sebenar beliau.

Bos pasukan Openbank Aspar Team, Gino Borsoi berkata: "Hafizh berada dalam keadaan baik, dengan dia hanya mendapat lebam terutama di bahagian pinggul tetapi berada dalam keadaan sedar."

Sementara itu, Prinsipal Pasukan PETRONAS Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali turut mengesahkan perkara sama.

"Hafizh berada dalam keadaan sedar dan hanya lebam. Selainnya OK. (Hafizh) masih berada di pusat perubatan untuk pemerhatian," katanya.

-- Berita Harian




Post a Comment

0 Comments